KAU CIPTA KASIH

KAU CIPTA KASIH

Friday, February 25, 2011

KAU CIPTA KASIH

PROLOG

SUARA angin malam menderu-deru. Seakan taufan akan melanda bila-bila masa saja. Sesekali bunyi guruh di dada langit mengejutkan Khadijah yang baru sekejap melelapkan mata. Tiba-tiba atap zink rumahnya disimbah air hujan, garang sekali bunyinya. Serta merta bunyi bising itu membuatkan dia jadi tidak menentu. Daun tingkap yang dikuncinya sebentar tadi tiba-tiba terbuka dan tertutup. Mungkinkah angin kencang menyebabkan selaknya tertanggal?


            Khadijah bingkas bangun. Tempias hujan terlalu cepat, membasahkan dinding bilik usangnya. Tuala yang disangkut di situ nampaknya basah juga. Dialih ke bahagian tengah biliknya. Dalam kekalutan itu, dia sempat menjengah ke luar tingkap melihat pepohon kelapa meliuk lintuk, ke kiri ke kanan menahan diri dari tiupan angin kencang itu. Dedaun rambutan berterbangan bersama puing-puing kecil ke arah yang tidak menentu. Kilat sambar menyambar dan dentuman bunyi guruh itu membuatkan dia terpana lantas menutup daun tingkap kembali. Menyelaknya kemas-kemas.


            Khadijah keluar dari bilik tidur, lalu bergerak ke tengah rumah. Hasnah sudah terlena di situ dengan buku-buku yang berselerakan.  Lazimnya dia memang begitu. Suka tidur di tengah rumah berbanding di dalam bilik bersamanya, dengan buku-buku yang tidak dikemas. Sesekali bunyi guruh yang masih lagi galak berdentum itu membuatkan tubuh Hasnah beralih. Lenanya terganggu dengan kebisingan itu namun dia nampaknya mengengkokkan tubuh,  kedinginan.


Khadijah kembali ke bilik, mencapai gebar dari almari dan kembali ke ruang tamu, menyelimuti tubuh Hasnah yang pasti akan kesejukan hingga ke pagi andai kata hujan berterusan. Lama Khadijah menyoroti tubuh Hasnah, akhirnya dia menapak semula ke bilik tidur, merebahkan diri semula ke tilam usangnya.


            Sesekali Khadijah memusingkan tubuh. Dia berasa kurang selesa, lantas bangkit dari pembaringan dan duduk seketika, menepuk-nepuk bantal tidurnya. Bunyi suara hujan yang menimpa atap zink rumah amat bising namun mengasyikan. Entah mengapa, pelupuk matanya yang mengantuk tadi seakan berdegil untuk terkatup kembali.


Dia mengerling jam di dinding rumah usangnya itu, sudah pukul dua belas empat puluh lima minit pagi. Ohh, sudah lewat benar, hatinya berbisik. Dia membaca beberapa ayat Al-Quran sambil memejam mata rapat, seakan memaksa dirinya untuk tidur semula. Biarpun begitu, dia masih lagi belum lena. Entah mengapa hatinya pula  berdebar-debar, tidak keruan. Seakan ada sesuatu yang tidak kena…. Mungkinkah dia terlalu bimbang, ribut kencang akan menumbangkan pokok rambutan lantas menimpa rumahnya itu?


Atau mungkinkah sesuatu yang buruk sedang berlaku pada anggota keluarganya yang lain? Mungkinkah ribut ini turut berlaku di tempat kerja emaknya lantas Sabariah dilanda musibah membuatkan perasaannya menjadi tidak enak? Nauzubillah! Tak elok fikir yang bukan-bukan, suara hatinya memujuk.


Fikirannya terus mengembara lagi. Mungkinkah Ramlah yang kini sedang belajar di Ipoh dalam kesusahan? Hatinya terus dijentik persoalan demi persoalan. Apakah yang terjadi pada adikku, Ramlah? Fikirannya buntu dengan persoalan yang datang dan pergi membuatkan hatinya bertambah resah gelisah. Dahlah, tak ada apalah…Suara akalnya memujuk dan terus memujuk. Kalau terus dilayan fikiran, lebih sukar untuk dia menutup matanya.


Mana ayah agaknya? Mungkinkah Abdullah sudah tidur pulas di biliknya? Sewaktu dia keluar menyelimuti Hasnah tadi, dia tidak perasan akan ayahnya. Cuma sebelum dia masuk tidur tadi, dia nampak ayahnya dan Hasnah bukan main rancak bercerita di tengah rumah. Abdullah memang mesra dengan Hasnah dan selalu menemani adik bongsunya itu belajar di ruang tamu rumah mereka.


Sejak kebelakangan ini Khadijah perasan perubahan sikap Abdullah pada Hasnah. Ayahnya memberikan layanan mesra dan memanjakan Hasnah. Baru tadi dia nampak Abdullah membancuh milo untuk Hasnah agar adiknya lebih bertenaga sewaktu belajar. Itulah yang selalu didengarinya setiap kali Abdullah datang pada Hasnah dengan membawa mug berisi milo.


Fikiran Khadijah tiba-tiba terjurus ke arah itu. Dia sedikit risau akan kemesraan itu, dikhuatiri membawa maksud yang tertentu di pihak Abdullah, apatah lagi mereka adik beradik kini sedang menginjak remaja. Sebagai gadis sunti mereka perlu sedikit sebanyak menjaga perbatasan pergaulan walaupun dengan bapa sendiri. Fikiran Khadijah makin ligat berfikir. Mata yang tadinya mengantuk seakan tidak mahu terkatup lagi. Kenapa sekarang dia terlalu memikirkan semua itu?


            Sedang asyik tenggelam dalam arus fikirannya, tiba-tiba lampu dapur yang sengaja dipasang untuk memberikan sedikit suasana cerah ke biliknya itu terpadam. Bekalan elektrik terputus? Hatinya berbisik. Mungkinkah ada pokok tumbang lantas menimpa wayar elektrik.


Tak mustahil semua itu. Lagi pun di kawasan kampungnya itu, pelbagai spesis pokok yang megah berdiri di sepanjang perjalanan menuju ke hujung kampung lebih kurang sama tinggi , malah lebih tinggi dari tiang elektrik. Aduh! Terpaksa bergelap gelitalah sampai ke pagi.


Biarlah, malas pula rasanya untuk bangkit dan mencari pelita minyak tanah.Waktu begini, melayan mata adalah lebih seronok, sambil menikmati irama air hujan yang menitis. Desis hati kecilnya sambil menarik selimut taktala dirasakan malam semakin mendinginkan tubuhnya itu.


            Khadijah tersentak taktala satu sentapan kasar singgah di tubuhnya. Gebarnya ditarik seseorang. Dia cuba menariknya, namun ada tenaga yang lebih kuat menarik gebarnya itu.  Dia bingkas bangun. Mimpikah dia? Khadijah mengamati suasana seketika lantas tangannya mencubit pipinya sendiri.








Dia ingin memastikan samada dia bermimpi atau sedang mamai menyingkap episod igaunya. Atau benarkah gebarnya ditarik orang? Khadijah membatukan diri. Tangannya mengagau sesuatu yang mungkin boleh mempertahankan dirinya. Tapi nampaknya usahanya hanya sia-sia. Tiada apa-apa di sisi tilam perbaringannya itu.


Khadijah membulatkan mata seluasnya memerhati sekeliling biliknya.  Gelap gelita. Dia menelan liur pahit taktala dia perasan sepertinya bunyi nafas seseorang kedengaran di hujung tilamnya. Suasana bilik yang gelap menyukarkan dia mengecam mungkinkah benar-benar ada seseorang di biliknya?Benarkah?


Ya benar, ia bukan khayalannya. Pipinya yang sakit membenarkan yang dia sedar dari tidurnya itu. Dia tidak bermimpi atau mengigau. Meskipun matanya tidak nampak apa-apa namun telinganya masih terbuka luas dan dia yakin benar susuk tubuh seorang di depannya. Khadijah buntu. Apa yang perlu dia lakukan?


Khadijah mengesot sedikit ,sekadar menduga reaksi manusia itu. Sedikit dia mengesot, dia perasan selangkah manusia itu merapatinya. Dia cuba berdiri, namun secepat kilat tubuhnya dipeluk kejap. Tubuh seorang lelaki yang seperti amat dikenalinya.


Khadijah cuba menolak dari dipeluk lelaki itu namun tenaga lelaki itu membuatkan Khadijah kembali terhenyak di tilam usangnya itu. Dalam kepayahan dia bangkit untuk bangun, cuba mempertahankan dirinya. Namun lelaki itu tetap jua merapatinya, memegang kedua belah lengannya. Ternyata lelaki di depannya itu berniat jahat.


Khadijah menjerit dan menjerit, cuba meloloskan diri dari pelukan itu. Rimas dan menyakitkan. Khadijah melaungkan nama Hasnah beberapa kali, namun satu tamparan kuat hinggap di pipinya. Sakit dan pedih. Sesekali terasa telinganya berdengung kuat ,kesan tamparan itu.


Dia mengaduh menahan sakit, merayu –rayu agar lelaki itu melepaskan cengkaman tangan kekarnya yang mula melingkari pinggang Khadijah. Khadijah meronta dan terus meronta dengan sisa kudrat yang masih ada untuk menolak tubuh sasa lelaki itu. Namun lantaran mulutnya yang ditutup kuat itu menyebabkan nafasnya tersekat-sekat. Sukar sekali untuk dia bernafas.


            Bau nafas lelaki itu memang dikenalinya. Fizikalnya memberitahu Khadijah yang lelaki itu bukanlah orang asing baginya. Dia yakin, dia tidak silap. Dia pasti benar telahannya tepat. Sedaya upaya Khadijah cuba menggigit tangan lelaki itu yang seperti harimau kelaparan. Gigitan itu sedikit sebanyak membuatkan lelaki itu bersuara, mengaduh menahan kesakitan lantas melepaskan seketika tanganya dari memekup mulut Khadijah.


Tindakan Khadijah tadi membuatkan lelaki itu tercabar. Api kemarahan tiba-tiba marak menyala. Dia menarik kuat rambut Khadijah yang mengurai itu, menggambarkan kemarahan yang amat sangat. Khadijah menangis menahan sakit. Merayu dan terus merayu, namun sekali lagi tamparan kuat singgah di pipinya. Perit yang tidak tertanggung.


Lelaki itu dengan gelojoh menarik kain batik yang dipakai Khadijah taktala dilihatnya Khadijah sudah tidak berdaya untuk melawan lagi. Tiada lagi suara yang mampu dikuatkan untuk meminta tolong sesiapa. Dia tidak berupaya lagi berteriak ,melawan kebisingan suara hujan dan ribut taufan yang menggila itu. Dia sudah tidak berdaya lagi untuk berbuat apa-apa meskipun dirasakan ada sesuatu yang berlaku di luar sedarnya. Tanpa relanya...

No comments:

Post a Comment