KAU CIPTA KASIH

KAU CIPTA KASIH

Thursday, October 27, 2011

bab2 KAU CIPTA KASIH

Ya ALLAH... aku benar-benar cintakan dia. Separuh mati perasaan ini terjeruk dalam diriku. Mengapa aku biarkan diriku bermain dengan perasaan sendiri. Mengapa? Sedangkan dia sedikitpun tidak pernah memandangku, jauh sekali menyapaku.
Kadangkala terasa seksa ketika merenung seraut wajahnya dari jauh. Wajahnya tenang, setenang air di kali. Dia kacak dengan sepasang mata yang redup, menyejukkan hati sesiapa yang memandang. Ternyata aku telah membiarkan ombak emosiku menguasai hati sendiri.
Entah... aku tidak tahu mengapa perasaan ini berani mengusik hatiku. Dan aku pula merelakan saja ia membuai-membuai perasaanku, mengusik tidurku yang sesekali menjengah mimpiku saban malam. Khadijah berbisik dalam hati, melayani perasaannya yang terbuai-buai itu.
Aneh sungguh perasaan ini! Benar-benar aneh tika diamuk perasaan misteri sebegini. Perasaan yang sering kali membuatkan dia resah sendiri. Resah taktala wajah kacak Faisal bermain-main di layar matanya. Dan dia sendiri tidak faham mengapa dadanya sesak hanya kerana tidak dapat melihat wajah jejaka itu. Inikah dikatakan cinta? Cinta yang mula tumbuh, bercambah dan berkembang di sanubarinya? Kalau benar ia cinta, sejak bila ia bermula?
Khadijah tidak pernah melupakan kali pertama senyuman yang Faisal lemparkan kepadanya semasa dia mula-mula tiba di rumah emak saudaranya, Mak Bidan Piah. Mak Bidan Piahlah yang memperkenalkan Faisal kepadanya. Waktu itu juga Mak Bidan Piah turut memberitahu bahawa Faisal akan belajar di sekolah yang sama dengannya. Cuma dia kurang bernasib baik kerana usia Faisal tua setahun daripadanya. Maka, mereka tidak ditakdirkan sekelas untuk merapatkan lagi hubungan.
Kali kedua yang dia tidak boleh lupa ialah waktu mereka berselisih di kantin sekolah tahun lepas dan Faisal mempelawanya makan nasi lemak bersama. Namun, dia menolak kerana segan dengan pandangan kawan-kawannya. Faisal mengerti situasinya dan berlalu dengan senyuman yang sangat manis.
Senyuman itulah yang membuatkan dia angau. Angau pada seorang jejaka yang menjadi tumpuan murid-murid perempuan di sekolahnya. Apatah lagi karakter Faisal sebagai seorang pengawas tambah menonjolkan kewibawaannya. Tapi dia tahu benar yang perasaan ini hanya wujud di sebelah pihaknya semata-mata. Dia pasti malu jika Faisal tahu akan perasaannya.
Tidak! Alangkah malunya apabila rahsia ini bukan rahsia lagi. Bayangkanlah apabila Faisal akan mencebir atau memalingkan muka setiap kali bertembung dengannya nanti.
Di hati Faisal akan berkata, “Hoi, Khadijah! Jangan beranganlah nak jadi awek aku. Cuba kau cermin muka kau tu. Tak ubah macam tapai basi. Kalau aku bersanding dengan dengan kau atas pelamin, muak aku mendengar cemuhan orang nanti. Pengantin lelaki kacak, tapi pengantin perempuannya tak padan langsung. Macam pinang dibelah dengan kapak. Sebelah elok, sebelah lagi hancur berserpih-serpih. Sudahlah, Jah... daripada kau berangan nak pikat lelaki kacak macam aku, lebih baik kau pergi tangkap katak puru. Mesti padan dengan kau!”
Bergema suara Faisal mengejek dan mentertawakannya.
“Hoi, Khadijah... kalaulah perigi nak cari timba sekalipun, biarlah perigi tu padan dengan timbanya. Baru serasi. Ni periginya cantik bersimen konkrit, timbanya berupih buruk. Kau nampak tak apa yang aku nampak? Sudahlah! Aku bukannya apa... aku kesiankan kau, terhegeh-hegeh. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.”
Suara Faisal makin megah bergema menggetarkan jiwanya yang semakin berombak resah. Tidak dapat dibayangkan jika itu yang Faisal ucapkan.
Ya, aku sedar. Aku tak layak mendampingimu atau mana-mana lelaki pun. Aku tak lawa seperti puteri. Aku hanyalah aku dan kau tetap kau. Lelaki pertama yang mengetuk-ngetuk dan mencuri hatiku ini. Kaulah lelaki yang membuatkan aku berkhayal dan berangan yang bukan-bukan, yang membuatkan aku tidak henti-henti berfikir tentang dirimu.
Raut wajahmu, susuk tubuhmu, tutur katamu, tingkah-lakumu dan segalanya tentang dirimu. Kau jualah yang membuatkan aku terdengar-dengar bisikan cinta di telingaku dan ternampak-nampak bayang wajahmu di mataku. Oh, tidak! Kau bikin aku sasau! Sasau!
Sanggupkah aku dihina hanya kerana ketagih cintamu? Sanggupkah aku dicaci-cerca hanya kerana memburu cintamu? Sanggupkah aku berdepan dengan semua kata-kata nista dan mata yang memandang sinis padaku? Sanggupkah aku menanggung risikonya? Sanggupkah aku?
Tidak! Tapi aku tak sanggup lagi menanggung seksa rindu sebegini. Rindu? Bukan! Cinta? Mungkin!
Mengucap, Khadijah! Mengucap! Kau tu dah parah sangat. Kau boleh gila kalau terus-terusan begini. Argh, biarkan! Bukan aku saja yang gila cinta, ramai lagi yang obses pada cinta. Khadijah berkatata dalam hatinya. Entah mengapa persoalan itu datang dan pergi, mengganggu benaknya.
“Assalamualaikum...”
Satu suara menerobos masuk ke gegendang telinga Khadijah. Signal yang diterima memberi isyarat ke otak dan impuls yang diterima mentafsirkan dia perlu menghentikan lamunannya. Dia masih di bangku, dibawah pokok bunga tanjung yang sedang lebat berbunga di sekolahnya itu. Jauh benar dia mengelamun hanya kerana terpandang susuk tubuh Faisal yang berjalan dari kejauhan tadi. Tapi sekarang bayangan itu sudah hilang entah di mana.
Dipaling wajahnya mencari suara yang mengucapkan salam.
 “Waalaikumus...” Butir suara yang hendak keluar seakan tersekat seketika di kerongkong. Terpempan dia seketika. Entah mengapa saat-saat itu dirasakan seolah-olah dia baru saja belajar menyebut kalimah itu. Payah benar!
“Abang Fai... hmm... Faisal.” Dia berdiri betul-betul di depan Faisal. Tiba-tiba dirasakan otot dan sarafnya terkejang taktala menyedari orang yang dipuja dan difikir siang malam berada di depan mata dengan senyuman yang paling manis.
Dia meneguk liur yang kering di tekaknya. Faisal terlalu dekat dengannya. Benarkah ini? Atau dia hanya berhalusinasi, berilusi, bermimpi atau... Ya ALLAH, kenapa duniaku berpusing-pusing?
Khadijah memegang kepalanya, tiba-tiba dia jatuh terjelepok. Pandangannya kelam dan gelap.
Bedebuk!
“Jah! Jah! Bangun! Bangun Jah! Jah, kenapa ni?” Faisal cemas melihat tubuh Khadijah yang terkulai layu di atas rumput terjelepok di hadapannya.

bab 1 KAU CIPTA KASIH

“Yah tak mahu anak ni, tak mahu...”
“Mengucap, Yah... mengucap. Ni anak Yah, bukan anak orang lain.” Mak Bidan Limah memujuk.
“Budak ni bukan anak Yah! Bukan! Budak ni cacat. Yah tak mahu! Tak mungkin Yah beranak anak cacat. Ni bukan anak Yah. Mak Bidan, buang anak ni. Buang!” Sabariah menjerit separuh sedar.
“Mak, mak...” Suara anak kecil yang baru mencecah usia dua tahun itu bersuara memohon perhatian orang-orang di sekelilingnya.
Khadijah dari tadi ralit bermain anak patung yang diperbuat daripada kain batik di ruang tamu. Dia menerkam ke bilik Sabariah yang baru saja selesai bersalin. Namun, terpaannya dihalang Opah Siah yang tercegat di muka pintu.
“Kau mari sini. Aku bunuh kau. Menyusahkan aku!” Sabariah memekik dari dalam bilik.
Suara nyaring dan penuh ancaman itu membuatkan anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu terpana. Dari riak wajahnya seolah-olah dihambat persoalan, kenapa emaknya menengking sebegitu sekali. Langkahnya mati, terpinga-pinga dengan situasi bising dan gamat. Dia kembali duduk memegang erat anak patung itu dan kembali bersendirian melayani dunia kanak-kanaknya.
“Mengucap, nak... mengucap. Siah, pergi panggilkan bilal dengan Tok Imam Su. Budak Yah ni macam ada benda tak kena...” Mak Bidan Limah mengarah.
Opah Siah mengangguk akur. Terkedek-kedek tubuh tuanya menuruni anak tangga, mahu memanggil kedua-dua orang yang disebut Mak Bidan Limah tadi.
“Yah kata buang, Mak bidan, Buang!” pekik Sabariah lagi. Kesakitan bersalin masih lagi terasa, namun dia mempunyai kekuatan merampas bayi dari dukungan Mak Bidan Limah.
“Mengucap, Yah... mengucap. Kau sedar ke tak ni?” Mak Bidan Limah tidak mahu kalah memujuk.
“Yah tak mahu Abang Dolah bencikan Yah sebab budak ni, sebab Yah beranak anak cacat. Dulu Yah dah rasa sakitnya kena penampar dia bila Yah bersalin anak perempuan. Abang Dolah nak anak lelaki. Yah tak mahu Abang Dolah ceraikan Yah...” teriak Sabariah lagi.
Suaranya jelas kedengaran hingga ke laman rumah. Malah, jiran-jiran terdekat mula mengerumuni rumah itu. Terkocoh-kocoh tok bilal dan Tok Imam Su menghampiri rumah Sabariah. Dari luar,  kedengaran suara Sabariah bertekak dengan Mak Bidan Limah.
“Kalau Yah tak mahu, biar mak bidan aje ambil.” Mak Bidan Limah terus memujuk. Dia khuatir Sabariah menghempas bayi yang masih lembik dan merah itu ke lantai. “Biar mak bidan ambil dan jaga budak ni. Ya nak?” Lembut suaranya. Moga-moga hati Sabariah sedikit tenang.
Sabariah menggeleng beberapa kali. “Tak payah, buang saja! Buang! Yah tak mahu tengok lagi. Yah tak mahu kerana anak ni, Yah kena marah dengan Abang Dolah. Yah tak nak kena cerai kerana budak celaka ni. Buang!” Keras dan menekan suaranya, seperti berada dalam dilema ketakutan berbaur kebimbangan.
“Yah!” Opah Siah bersuara lantang. Dia menerpa masuk ke bilik.
Mendengar suara Opah Siah, Sabariah terdiam.
“Bagi mak bidan anak tu, nak...” Opah Siah memujuk perlahan.
Sabariah akur, mengunjukkan bayi itu kepada Mak Bidan Limah.
Mak Bidan Limah terus berlalu ke luar dari bilik itu menuju ke ruang tamu. “Tok, tolong buat air jampi. Si Yah tu macam meroyan,” bisiknya perlahan.
Tok Imam mengangguk. Dia ke dapur mengambil semangkuk air dan menjampinya. Lalu, dia kembali ke muka pintu bilik Sabariah. “Siah...” panggilnya dari luar.
Opah Siah keluar.
“Bagi Si Yah tu minum,” arah Tok Imam Su.
Opah Siah mengangguk tanda faham. Tidak lama kemudian sayup-sayup kedengaran azan dilaungkan bilal ke telinga bayi itu. Suara jeritan Sabariah sudah tidak kedengaran lagi.
“Assalamualaikum...” Satu suara kedengaran dari laman rumah.
“Oh... Abdullah dah sampai rupanya. Elok-elok kau sampai. Bini kau dah selamat bersalin.” Tok Imam Su bersuara.
“Anak lelaki, baru saja selesai diazankan.” Bilal pula bersuara.
Abdullah menanggalkan kasut, pantas masuk ke dalam rumah tanpa membalas kata-kata itu.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, kami minta diri, Siah.” Tok Imam Su meminta diri untuk pulang. “Abdullah pun dah balik ni hah...”
Opah Siah tersenyum. Dia mengangguk. “Terima kasih semua...”
Pang! Semua terbata. Bunyi tamparan itu menghentikan langkah Tok Imam Su dan Bilal. Masing-masing bergegas ke atas, menghampiri Abdullah dan Sabariah. Wajah Opah Siah pucat melihat Sabariah sedang teresak-esak sambil mengusap pipinya yang berbekas kesan tamparan Abdullah tadi. Masing-masing terdiam, hanya memerhati wajah Abdullah yang merah pedam.
 “Aku dah kata, kau ni memang bodoh! Beranak pun tak boleh harap. Siapa nak anak cacat macam tu? Menyusahkan aku saja! Kalau kau nak sangat anak tu, kau bela sendiri!” Abdullah menengking dengan suara keras.
Tiba-tiba Khadijah yang tertidur setelah ralit bermain sendirian tadi memanggil ayahnya. Suara garau ayahnya tadi mengejutkannya dari lena.
“Ayah...”Seru Khadijah sambil menggesek-gesek mata.
“Apa?” Abdullah yang sedang berang berpaling pada Khadijah. “Karang dengan kau sekali aku kerjakan!” tengking Abdullah pada anaknya pula.
Khadijah yang masih terpisat-pisat menggosok matanya beberapa kali. Dia terpinga-pinga, cuba memahami segala yang sedang berlaku. Dalam teresak-esak dia merapati Opah Siah. Opah Siah memeluk Khadijah erat. Kesian cucu aku jadi mangsa keadaan, bisiknya perlahan.
“Sabar, Dolah. Sabar... mengucap!” Tok Imam Su melangkah semula ke dalam rumah, hasratnya mahu pergi dari situ bersama bilal terbantut. “Sabar, Dolah...” Dia terus memujuk sambil memegang bahu Abdullah.
Abdullah merengus kasar, ditepis tangan Tok Imam.
“Anak kan rezeki ALLAH? Cacat ke, sempurna ke... dia tetap anak kita.” Tok Imam Su tidak mahu kalah memujuk.
“Tok imam jangan masuk campur hal urusan rumah tangga saya. Tok imam boleh berambus sekarang!”
“Dolah... kau jangan biadab! Sedar sikit apa kau cakap tu. Dengan siapa kau bercakap tu, hah?” marah Opah Siah.
Abdullah hanya mencebik.
“Kalau kau berdua dah tak mahu, biar aku yang jaga.” Opah Siah membuat keputusan. Ada nada serak di situ, menahan perasaan kecewa yang teramat sangat. Diseka air matanya. Di wajahnya tersimpan seribu satu penyesalan mengenangkan sikap anak dan menantunya itu. Satu perasaan yang sukar digambarkan.
Dia menggeleng-geleng menahan sebak. Kenapa, Yah? Kenapa? Apa salah budak ni? Dia kan anak kau? ALLAH beri kau rezeki, kenapa kau tak mahu bersyukur? Dia cacat sedikit saja, kau terus buang dia dari hidup kau. Biar, biar! Biar aku yang bela budak ni. Didukung bayi yang sesekali merengek kecil itu. Mungkin dia faham, semua orang sedang memperjudikan nasibnya kini.
Opah Siah mencium pipi cucunya itu, didakapnya kejap. Semua mata terpana memandang Opah Siah yang mengorak langkah meninggalkan rumah itu. Opah Siah nekad. Sekuat kudrat yang masih ada, dia mendukung bayi itu sambil memimpin tangan Khadijah, membelah keheningan malam menuju ke teratak buruknya di hujung kampung.
Kau mesti ingat, Yah. Budak ni darah daging kau. Walau bagaimana cacat sekalipun, mana tahu suatu hari nanti dia yang membela nasib kau. Kau tak pernah berubah, Yah. Ibu hanya doakan kau bahagia dengan jalan yang pilih. Ya ALLAH, Kau tunjukkanlah jalan agar Yah insaf dengan segala perbuatannya ini. Dia berbisik di dalam hatinya. Dia menangis.
Sesekali direnung bulan di langit yang setia menyimbahkan cahaya ke serata alam. Cahaya bulan yang terang memudahkan perjalanannya. Dingin malam terasa membelit ke segenap ruang tubuh tuanya. Sesekali dia membetulkan kain batik yang membaluti tubuh bayi dalam dakapan, khuatir embun malam menjejaskan kesihatannya. Disisip lengan bajunya agar lebih selesa untuknya mendakap bayi tersebut agar lebih dekat dengan tubuhnya.
Jauh di sudut hati, tumpah perasaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Dicium bayi itu beberapa kali. Dipandang tubuh kecil Khadijah yang patuh mengikut langkahnya tanpa sebarang bantahan, jauh sekali merengek. Mungkin anak kecil itu sedar situasi waktu itu amat genting. Opah Siah menyeka air mata yang bercucuran di pipinya.